Beri Kerjasama Kepada Petugas Barisan Hadapan, Kekal Duduk Di Rumah

SELASA, 1 JUN 2021

MIRI: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bertujuan mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 di kalangan masyarakat yang sebelum ini dilihat semakin meningkat. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol berkata, untuk itu masyarakat khususnya di Bandaraya Miri diminta untuk memberikan kerjasama kepada petugas barisan hadapan dengan duduk di rumah untuk jaga diri dan keluarga daripada penularan COVID-19.

“Kepada masyarakat di Miri saya memohon beri kerjasama. Kalau tidak ada perkara penting duduklah di rumah. Jaga keselamatan diri dan jaga keselamatan keluarga. 

“Kita tidak mahu wabak kes COVID-19 ini merebak adalah dengan kurangkan pergerakan, kurangkan pertemuan dan kurangkan percampuran. 

“Itulah sebabnya kerajaan mengarahkan untuk mengadakan lockdown (PKP) ini,” katanya semasa ditemui selepas Taklimat OPS COVID-19 di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada Isnin. 

Terdahulu, sebanyak 5 lokasi tambahan telah diumumkan untuk diadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Daerah Miri bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.

Antara lokasi tersebut ialahJalan Miri ByPass (Lampu Isyarat), Jalan Datuk Edward Jeli (Ng Sian Hap @ Kenyalang Supermarket), Jalan Miri – Lutong (Bulatan GK Supermarket), Jalan Bintulu – Miri (Hadapan Balai Polis Trafik Miri) dan Jalan Bakam (Lampu Isyarat Jalan Luak Bay).

Manakala, dua lagi SJR di Lambir dan Sungai Rait telah dilaksanakan pada awal tahun ini bagi mengelak penduduk setempat merentas daerah antara Miri dan Subis. 

Supt Mohd Sabri juga mengharapkan pelaksanaan PKP ini akan dapat mengurangkan kes COVID-19 di Malaysia yang memasuki gelombang ketiga. 

“Itulah pihak petugas barisan hadapan mengharapkan kerjasama masyarakat. Sebab apa, kita dah lama dah lebih setahun bergelumbang dengan COVID-19 ini. 

“Jadi, bagilah kita harapkan dengan lockdown ini kita berjaya mengurangkan kes COVID-19 di Malaysia khususnya di Daerah Miri ini. Itulah harapan kita kepada masyarakat,” tambahnya. 

Hadir sama Setiausaha Majlis Bandaraya Miri (MBM) Morshidi Fredrick, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pasukan Gerakan Am. -EDISI UKAS

Share

add comment