PEMERKASA Tambahan: Bantu Rakyat, Pertingkat Ekonomi Negara

SELASA, 1 JUN 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan sebagai inisiatif terbaharu bagi membantu rakyat sekaligus meningkatkan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, bagi meredakan cabaran yang dihadapi terutamanya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini, kerajaan memperuntukan sejumlah RM40 bilion bagi program tersebut.

“Nilai keseluruhan program PEMERKASA Plus adalah berjumlah RM40 bilion, di mana suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak RM5 bilion.

“Langkah baharu PEMERKASA Plus akan dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam; meneruskan agenda prihatin rakyat; dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya ketika mengumumkan mengenai program tersebut di Kuala Lumpur pada Isnin.

Ujar Perdana Menteri lagi, bagi mencapai matlamat itu, Kerajaan akan terus mengutamakan pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’ dalam memerangi pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, walaupun kerajaan mempunyai ruang fiskal yang amat terhad untuk berbelanja pada masa ini, Kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memastikan wujud keseimbangan antara ‘lives’ and ‘livelihood’ iaitu keperluan untuk melindungi nyawa, dan menjamin kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh PKP ini.

Katanya lagi, semenjak COVID-19 melanda negara, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion.

Sehingga kini, ia telah memanfaatkan lebih 20 juta ahli isi rumah serta lebih dari 2 juta perniagaan dengan suntikan ekonomi melebihi RM200 bilion.

Justeru, terdapat lebih dari RM100 bilion lagi daripada nilai pakej rangsangan untuk disalurkan sepanjang tahun ini.-EDISI UKAS

Share

add comment