RABU, 2 JUN 2021
KUCHING: Pusat Sehenti COVID-19 di Bahagian Kuching yang telah memulakan operasi sejak 3 Mei yang lepas telah menjalankan sebanyak 29,445 ujian saringan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, ia menunjukkan bahawa pembukaan pusat tersebut sangat berguna khususnya bagi orang awam yang perlu mendapatkan ujian saringan.
“Jumlah tersebut menunjukkan bahawa pusat ini adalah berguna untuk rakyat dan sangat diperlukan kerana ia memudahkan orang awam untuk mendapatkan ujian saringan.
“Pusat ini merupakan tempat di mana kita menempatkan semua agensi yang relevan seperti Pejabat Kesihatan Bahagian, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Residen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jawatankuasa Bencana Bahagian, pasukan pengesanan kontak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sekiranya ada yang perlu dikuarantin di rumah, Kerajaan Negeri bersetuju mereka disediakan dengan bekalan makanan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke pusat tersebut pada Rabu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut memberitahu, semua bahagian di Sarawak telah dimaklumkan untuk mengambil dan mengikut inisiatif yang telah dilakukan itu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas merayu supaya rakyat untuk kekal berada di rumah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
“Jadi sekarang ini, Sarawak sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi kita mahu setiap rakyat untuk duduk di rumah.
“Saya merayu kepada semua orang untuk duduk di rumah semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini kerana ini bukan untuk menyusahkan anda tetapi untuk menyelamatkan nyawa.
“Oleh itu, sila patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan terus duduk di rumah semaksimum mungkin kerana jika kita dapat mengelakkan berkumpul, mengelakkan perjumpaan yang tidak perlu dan sebagainya maka saya yakin rantaian wabak ini dapat diputuskan,” ujar beliau lagi. – EDISI UKAS