3 Penempatan Di Bintulu Akan Dikenakan PKPD

RABU, 2 JUN 2021

BINTULU: Tiga buah penempatan penduduk termasuk rumah sewa atas kedai dijangka akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam masa terdekat berikutan kawasan tersebut merekodkan peningkatan kes positif COVID-19.

Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu akan terus memantau ketiga-tiga penempatan tersebut dan menegaskan tindakan PKP akan diambil pada bila-bila sahaja tanpa sebarang notis atau pengumuman.

“Saya sudah bagi tahu dan saya nampak lagi masih ada rakyat Bintulu yang membuat berbeku dan minum secara berkumpulan, dan ini melanggar SOP yang ditetapkan. 

“Saya harap semua rakyat memberikan pertolongan dan kerjasama dalam masa sekarang dan hari Gawai,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Hotel Promanade Bintulu pada Isnin.

Dalam pada itu, Dato Seri Tiong yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke China turut menggesa orang ramai khususnya masyarakat Dayak menyambut perayaan Gawai agar tetap berada di rumah dan meraikan bersama- sama ahli keluarga ‘sebilik’ sahaja dan mematuhi SOP Gawai yang ditetapkan kerajaan. 

“Saya sudah berada di rumah panjang dan beritahu kita bukan menghalang meraikan perayaan Gawai, tetapi seperti kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ‘kita perlu mengambil tindakan walaupun tidak popular, orang semua benci kita tetapi sebab nyawa rakyat, kita terpaksa memutuskan untuk membuat lockdown’,” tegasnya. 

Pada masa sama beliau turut menyeru pemilik premis rumah sewa atas kedai untuk bekerjasama dengan agensi berkuasa tempatan termasuk JPBB Bintulu dan Pejabat Kesihatan Bintulu sekaligus bertanggungjawab terhadap premis mereka dengan mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan memandangkan premis terbabit tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa tempatan. -EDISI UKAS

Share

add comment