ADUN Batu Kitang Serah Bantuan Makanan Kepada 20 Keluarga Di Kampung Lidah Tanah

RABU, 2 JUN 2021

KUCHING: Prihatin dengan kekangan yang dihadapi penduduk yang dikuarantin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang telah menghantar bantuan makanan kepada 20 keluarga di Kampung Lidah Tanah di sini pada Selasa.

Bantuan makanan ehsan itu telah diserahkan menerusi Pengerusi Persatuan Pergerakan Kemajuan Kota Padawan, Albert Lee Joo Hee dan Pengerusi SUPP Cawangan Kecil Batu 6, Abdul Ghani Said.

Kesemua bantuan makanan tersebut diserahkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, penduduk kampung yang terjejas merakamkan penghargaan kepada wakil rakyat mereka di atas keprihatinannya dalam membantu mengurangkan beban dalam menghadapi wabak COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. -EDISI UKAS