Ahli Parlimen Bintulu Kecewa Pengurusan Kilang Di Samalaju Tidak Beri Kerjasama Dengan JPBB Bintulu

RABU, 2 JUN 2021

BINTULU: Sikap pengurusan kilang di kawasan Perindustrian Samalaju yang tidak mahu bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) BIntulu dalam memerangi penularan rantaian pandemik COVID-19 di kalangan pekerja mereka sangat mengecewakan. 

Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing berkata, sehingga Isnin telah terdapat 43 kes positif COVID-19 sekaligus boleh mencetuskan kluster baharu di tempat kerja.

“Hari ini saya mahu ambil peluang ini hendak memberitahu pihak pengurusan atasan di kawasan Perindustrian Samalaju ini bahawa saya cukup sedih sebab tidak diberikan kerjasama dalam menangani kes COVID-19. 

“Pekerja mereka telah membuat ujian calitan COVID-19 dan didapati positif tetapi tidak melaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Hotel Promanade Bintulu pada Isnin.

Dato Seri Tiong yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke China menegaskan tindakan akan tegas akan diambil bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang dan memberikan pengajaran kepada pemilik kilang yang lain untuk lebih bertanggungjawab.

“Saya minta pengurusan kilang supaya memberikan kerjasama dan sekiranya tidak, kita JPBB Bintulu akan mengambil tindakan tegas. 

“Saya juga memohon kepada semua pekerja di Samalaju supaya memberikan kerjasama dengan mematuhi SOP dan jangan keras kepala atau degil,” tegasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment