Pemantauan SOP Sekitar Pekan Sebuyau Dipergiat, Orang Awam  Patuh SOP PKP

RABU, 2 JUN 2021

SEBUYAU: Pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) terus memperhebat penguatkuasaan pemantauan harian sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Pekan Sebuyau.

Pasukan tersebut adalah terdiri daripada Majlis Daerah Simunjan bersama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). 

Pemantauan itu bertujuan memastikan orang awam sentiasa mematuhi SOP ketika berada di tempat awam serta meningkatkan kesedaran orang ramai untuk terus mengamalkan amalan norma baharu bagi membendung wabak COVID-19. 

Selain itu, ia juga bagi memastikan setiap pemilik dan pelanggan premis mengikut SOP yang ditetapkan serta menasihat dan memberi amaran kepada pemilik premis atau orang awam yang didapati tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah kedai runcit, persekitaran tempat letak kereta, jalan kampung dan tempat awam yang sering dikunjungi. 

Dalam pada itu, hasil daripada pemantauan tersebut, premis perniagaan dan kedai runcit mematuhi 98 peratus tahap pematuhan.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk terus berada di rumah sekiranya tidak mempunyai urusan penting di luar bagi membantu Kerajaan Sarawak memutuskan rantaian COVID-19.-EDISI UKAS

Share

add comment