PKPD: 946 Keluarga Terima Bantuan Makanan Sumbangan Ahli Parlimen Kota Samarahan

RABU, 2 JUN 2021

SAMARAHAN: Sebanyak 946 buah keluarga yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Parlimen Kota Samarahan akan menerima bantuan bekalan makanan sumbangan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Pada Selasa, Rubiah telah meluangkan masa menyertai kakitangan dan petugas sukarelawan di Dewan Suarah Samarahan dalam mempersiapkan bekalan bantuan makanan kepada penduduk yang dikuarantin dalam kawasan PKPD di Kampung Tanjung Bundong di sini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada petugas- petugas barisan hadapan yang bertugas di kawasan PKPD di situ.

Penguatkuasaan PKPD di kawasan berkenaan telah diisytiharkan mulai 24 Mei lepas sehingga 5 Jun 2021 oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) setelah mengambil kira kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam kalangan komuniti. -EDISI UKAS