SJR Bukan Menyusahkan Rakyat, Tetapi Mengawal Pergerakan Orang Ramai Bendung Penularan COVID-19

RABU, 2 JUN 2021

MIRI: Pihak berkuasa mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) bukannya bertujuan menyusahkan rakyat, tetapi bertujuan mengawal pergerakan keluar orang ramai bagi membendung dan mengawal situasi pandemik COVID-19. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, meminta orang ramai mematuhi segala SOP yang digariskan dan beri kerjasama kepada pihak berkuasa yang melaksanakan SJR. 

Katanya lagi, JPBB Miri akan sentiasa membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk pastikan petugas barisan hadapan dapat melaksanakan tugas dengan selesa dan sempurna.  

“Pada hari pertama semestinya kita akan buat penambahbaikan sejurus selepas lawatan ini. 

“Kita juga menilai sama ada kanopi yang diletakkan mencukupi, memastikan makanan dan minuman disediakan serta kipas angin dipasang untuk keselesaan para petugas,” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan tinjauan lima buah lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di sekitar Bandaraya Miri pada Selasa. 

Antara lokasi yang dilaksanakan SJR ialah Jalan Miri By-Pass (Lampu Isyarat), Jalan Datuk Edward Jeli (Ng Sian Hap @ Kenyalang Supermarket), Jalan Miri – Lutong (Bulatan GK Supermarket), Jalan Bintulu – Miri (Hadapan Balai Polis Trafik Miri) dan Jalan Bakam (Lampu Isyarat Jalan Luak Bay). 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada penduduk di Miri yang telah sama-sama memberikan sumbangan berupa makanan dan minuman kepada petugas barisan hadapan dalam memudahkan urusan mereka sepanjang pelaksaan SJR ini.

“Di sini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada keprihatinan penduduk Bandaraya Miri yang menghargainya sumbangan para petugas barisan hadapan ini dengan menghantar minuman seperti air mineral dan juga air kotak. 

“Ada juga yang menghantar kiub ais untuk menyejukkan minuman bagi keperluan petugas barisan hadapan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Negeri Sarawak yang telah dikemaskini pada 31 Mei 2021, hanya dua (2) orang wakil isi rumah dibenarkan keluar bagi maksud berikut melaksanakan apa-apa tugas rasmi, menyediakan apa-apa perkhidmatan perlu (essential services) atau melaksanakan tugasnya berhubung dengan apa-apa perkhidmatan perlu (essential services), mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan, membeli makanan, keperluan harian atau ubat/penokok diet (tidak melebihi radius 10km dari kediaman atau tempat paling hampir) dan membuat urusan berkenaan dengan apa-apa perkhidmatan perlu (essential services) dan temu janji mendapatkan vaksin COVID-19. 

Walau bagaimanapun bagi tujuan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, keselamatan atau kecemasan, bilangan kapasiti yang dibenarkan adalah seramai tiga orang sahaja. 

Dalam pada itu, individu atau kumpulan individu adalah tidak dibenarkan berada di kawasan awam mulai jam 10:00 malam hingga 5:00 pagi tanpa alasan yang munasabah atau berkumpul di kawasan awam melebihi dua orang tanpa alasan yang munasabah. 

Selain itu, individu yang berisiko tinggi adalah tidak digalakkan keluar rumah manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak tanpa alasan yang munasabah. 

Pergerakan antara daerah adalah tidak dibenarkan kecuali bagi perkhidmatan perlu dan mempunyai permit polis atau surat daripada majikan masing-masing.

Tinjauan itu turut disertai Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohamad Yusuf, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Mohd Sabri Zainol Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Morshidi Fredrick dan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di bawah JPBB Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment