4 Agensi Bekerjasama Pantau Pematuhan SOP PKP Di Daro

KHAMIS, 3 JUN 2021

DARO: Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA dalam memastikan tiada pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) dilakukan oleh orang awam mahupun para peniaga di kawasan pasar Daro sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua petugas agensi berkenaan akan melakukan rondaan pada setiap hari bagi memastikan premis-premis kedai dan orang ramai yang keluar ke Pekan Daro sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Setakat Rabu, sebanyak dua kompaun telah dikeluarkan kepada majikan yang gagal merekod kehadiran pekerja bertugas dengan menggunakan Scan Mysejahtera selain buku rekod pelanggan tidak dikemaskini dengan lengkap.

Kebanyakan kesalahan yang dilakukan oleh orang awam ataupun para peniaga adalah tidak memakai pelitup muka, buku rekod pelanggan tidak dikemaskini, pemilik premis gagal menghadkan jumlah pelanggan yang masuk dan pemilik premis atau majikan gagal memastikan pekerja mendaftar kehadiran bertugas dengan menggunakan Mysejahtera atau secara manual.

Kesemua tersebut adalah rutin norma baharu yang perlu dipatuhi bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

Sekiranya ia gagal dipatuhi, pihak penguatkuasaan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan pematuhan SOP ini dapat dilaksanakan di kawasan Daro.

Kesemua premis kedai diarahkan untuk menutup operasi kedai tepat jam 8 malam. – EDISI UKAS

Share

add comment