KHAMIS, 3 JUN 2021
LIMBANG: Kebakaran yang membabitkan berek Blok S Kompeni C Batalion 12, PGA Limbang awal pagi Selasa telah mendapat perhatian daripada Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Beliau menyampaikan sumbangan awal berbentuk kewangan kepada 16 anggota PGA Limbang yang terlibat yang kini tinggal sehelai sepinggang.
Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut memberitahu akan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM10,000 kepada mereka untuk membeli peralatan dapur dan keperluan lain.
Sementara itu, Kompeni Komander, Kompeni C Batalion 12, Pasukan Gerakan Am Limbang ASP Azhar Mohammad memberitahu, semasa kebakaran awal pagi Selasa hanya 9 anggota sahaja berada di berek tersebut manakala 7 anggota lagi bertugas di tempat operasi.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak Bomba dan Penyelamat Limbang.
Dalam kejadian itu, sebuah kereta dan 3 buah motosikal hampir musnah terbakar, manakala barangan peribadi seperti pakaian, barangan elektrik dan lain-lain semuanya habis terbakar dan tidak dapat diselamatkan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut yang dipercayai bermula dari berek kawasan tengah.
Turut menyampaikan sumbangan adalah Pemuda PBB DUN Bukit Kota berupa pakaian terpakai kepada anggota terbabit.
Sebelum ini beberapa buah agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang, Tabung Baitulmal Cawangan Limbang dan beberapa buah NGO’s telah memberikan sumbangan.
Kesempatan ini, ASP Azhar yang mewakili mangsa-mangsa kebakaran mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberikan sumbangan dan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meringankan beban anggota yang terlibat dalam kebakaran. -EDISI UKAS