ADUN Meradong Mahu Lebih Ramai Warga Di Kawasannya Menerima Vaksin Covid-19

KHAMIS, 3 JUN 2021

BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berharap lebih ramai penduduk di kawasannya menerima suntikan vaksin Covid-19.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak dos vaksin dibekalkan di Meradong bagi membolehkan mereka yang telah mendaftar diberikan suntikan.

“Saya difahamkan setiap minggu mungkin ada beribu-ribu vaksin akan datang ke Bahagian Sarikei.

“Saya berharap semua warga Meradong akan diberi peluang untuk meneirma vaksin dos pertama di masa akan datang,” katanya kepada UKAS selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Bintangor pada Khamis.

Dalam lawatan itu, beliau menzahirkan rasa gembira selepas mendapati ramai warga Meradong menerima suntikan di PPV berkenaan.

Harapannya, pihak Pejabat Daerah Meradong dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Meradong akan berusaha memastikan warga Meradong yang telah mendaftar diberikan suntikan kerana ia penting bagi memutus penularan wabak Covid-19 di daerah itu.

Seramai 400 warga emas dari Meradong dipanggil untuk menerima suntikan vaksin hari ini. – EDISI UKAS

Share

add comment