Bekalan Mingguan Vaksin COVID-19 Tiba Di Kuching

KHAMIS, 3 JUN 2021

KUCHING: Sarawak menerima satu lagi penghantaran udara bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Kuching pada Rabu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian menerusi hantaran Facebook rasmi miliknya pada Rabu.

Beliau memberitahu, bekalan tersebut merupakan penghantaran mingguan untuk rakyat di negeri ini.

“Satu lagi penghantaran udara bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer secara mingguan tiba di Kuching malam ini.

“Bekalan ini merupakan sebahagian daripada Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Dato’ Sri Dr Sim yang juga penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut memberitahu, pihaknya menantikan komitmen penghantaran bekalan vaksin daripada Kerajaan Pusat untuk minggu yang akan datang.

“Kita menantikan komitmen penghantaran bekalan vaksin daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk minggu yang akan datang.

“Difahamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengeluarkan senarai jumlah vaksin kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS),” katanya lagi. – EDISI UKAS

Share

add comment