Golongan Berisiko Tinggi Dan Barisan Hadapan Di Daro, Matu Lengkapkan Dos Suntikan Vaksin

KHAMIS, 3 JUN 2021

DARO: Program Imunisasi Covid-19 Fasa 2 Daerah Daro diteruskan pada Khamis kepada golongan berisiko tinggi dan barisan hadapan sekitar Daro dan Matu.

Program tersebut berjalan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan di Dewan Masyarakat Daro dengan penerima disuntik dos kedua vaksin.

Badan Bertindak Imunisasi Covid 19 (CITF) Daerah Daro mensasarkan seramai 300 individu berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksin dalam program tersebut.

Sebelum ini berlaku kes individu yang telah dimaklumkan untuk menerima vaksin tetapi tidak hadir.

Bagi mengelak pembaziran vaksin, pihak CITF mengambil keputusan memanggil segera individu yang berada dalam senarai menunggu.

Hal ini berlaku kerana sebilangan warga emas tidak mempunyai aplikasi MySejahtera dan tidak dapat dihubungi.

Selain itu, terdapat juga individu tidak bersetuju pada saat akhir kerana memilih jenis vaksin yang digunakan.

Beberapa penerima yang ditemui UKAS melahirkan rasa lega dan gembira kerana telah melengkapkan suntikan vaksin.

Mereka turut menggesa kepada orang ramai yang belum mendaftar untuk menerima vaksin agar berbuat demikian kerana vaksin sangat penting untuk melindungi diri mereka sendiri dan orang lain. – EDISI UKAS

Share

add comment