Keadaan Terkawal, Penduduk Di Daerah Subis Patuhi SOP PKP

KHAMIS, 3 JUN 2021

NIAH: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Subis mengambil berat terhadap pematuhan garis panduan prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Daerah Subis. 

Sehubungan itu, JPBD Subis telah turun padang dan membuat  Operasi Pematuhan SOP PKP di beberapa kawasan dalam Daerah Subis pada Selasa. 

Mereka terdiri daripada Pegawai Daerah Subis, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Niah, Setiausaha Majlis Daerah Subis, Penolong Setiausaha Majlis Daerah Subis dan 8 orang kakitangan terdiri daripada Bahagian Kesihatan Awam Majlis Daerah Subis dan Penguatkuasa Majlis Daerah Subis.

Pegawai Daerah Subis yang juga Pengerusi JPBD Subis Jamalie Busri berkata, pemantauan ini meliputi beberapa kawasan dalam Daerah Subis bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 selain memastikan SOP PKP dipatuhi. 

“Pemantauan menyeluruh melibatkan kawasan komersial, perumahan, rumah panjang, pantai dan tempat awam.

“Misalnya pada Operasi Pematuhan SOP PKP ini, antara kawasan yang dipantau ialah Sepupok, Niah, Pekan Batu Niah, Simpang Asah, Simpang Ngu, Simpang Bekenu, Pantai Tusan, Pantai Bungai, Pantai Peliau dan Pekan Bekenu,” katanya. 

Sepanjang pemantauan pematuhan SOP PKP didapati keadaan terkawal dan didapati penduduk Daerah Subis menyokong seruan kerajaan untuk patuh SOP dan keluar apabila perlu sahaja. 

Keadaan trafik di jalan raya juga didapati kurang kenderaan berbanding pada hari biasa. -EDISI UKAS

Share

add comment