Kerja-Kerja Pembinaan Bangunan Dewan Bandaraya Miri Dihentikan Sementara Waktu

KHAMIS, 3 JUN 2021

MIRI: Kerja-kerja pembinaan bangunan Dewan Bandaraya Miri dihentikan sementara waktu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam kenyataan media pada Rabu berkata, ini selaras dengan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP yang ditetapkan kerajaan. 

“Objektif PKP adalah untuk menyekat pergerakan dan ini masih merupakan langkah asas dan kritikal untuk mengurang dan menghentikan penularan jangkitan COVID-19. 

“Garis panduan PKP telah menetapkan semua pergerakan dan aktiviti (termasuk perniagaan) dihentikan dengan hanya aktiviti yang diklasifikasikan di bawah perkhidmatan penting sahaja dibenarkan. 

“Adalah penting masyarakat memahami objektif pelaksanaan PKP dan memberikan kerjasama dengan mematuhi SOP agar objektifnya tercapai,” katanya. 

Walaupun projek pembinaan bangunan Dewan Bandaraya Miri ini diklasifikasi sebagai projek kerajaan dan dikecualikan daripada sekatan PKP dengan syarat, MBM mengambil keputusan menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan selepas berbincang dengan kontraktor demi keselamatan dan kesihatan awam. -EDISI UKAS

Share
0