Pusat Khidmat Batang Lupar Salur Bantuan Makanan Kepada 125 KIR Di Pusa

KHAMIS, 3 JUN 2021

PUSA: Pusat Khidmat Batang Lupar telah menyampaikan bantuan kecemasan berupa makanan asas kepada 125 isi rumah di Kampung Hulu Tambak, Pusa yang telah dikenakan kuarantin akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 2 hingga 16 Jun ini.

Bantuan telah disampaikan kepada Ketua Kampung Tambak, Pusa, Musa Gapor dalam majlis ringkas pada Khamis.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim berharap bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan kesulitan yang dihadapi penduduk ekoran penularan wabak Covid-19 di kampung berkenaan.

Beliau turut mengingatkan penduduk Kampung Tambak agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan, menjaga diri, kebersihan serta tidak keluar rumah jika tiada keperluan agar penularan wabak ini dapat diatasi dengan sepenuhnya.

Selain itu, beliau turut memohon kerjasama penduduk Kampung Tambak supaya membuat saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Pusa untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing.

JKKK Kampung Tambak, Pusa dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato Sri Rohani di atas sumbangan yang diberikan. – EDISI UKAS

Share

add comment