75,869 Warga Emas Telah Terima Vaksin Dos Pertama Dan 25,601 Orang Lagi Lengkap Terima Dua Dos Vaksin COVID-19

JUMAAT, 4 JUN 2021

KUCHING: Seramai 75,869 warga emas telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 dan 25,601 orang lagi telah melengkapkan dua dos vaksin tersebut setakat 2 Jun 2021.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, maklumat tersebut adalah berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut seramai 1,143 orang ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) telah menerima vaksin,” katanya semasa melakukan lawatan pemantauan proses pemberian vaksinasi warga emas di Rumah Seri Kenangan (RSK) Bahagian Kuching pada Jumaat.

Dato’ Sri Fatimah menambah, program telah bermula pada pukul 8 pagi di mana 10 orang pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia hadir dalam menjalankan tugas vaksinasi.

Beliau turut memaklumkan seramai 58 daripada 59 orang penghuni RSK Bahagian Kuching adalah layak menerima vaksin manakala seorang lagi penghuni masih belum layak atas faktor kesihatan.

“Program yang sama juga akan dijalankan di Rumah Seri Kenangan, Sibu pada Rabu, 9 Jun depan melibatkan 27 orang penghuni,” tambahnya.

Sementara itu, beliau turut menyeru Pengerusi PAWE Sarawak dan Pengerusi PPWE Sarawak untuk menggalakkan ahli mereka membuat pendaftaran untuk divaksinasi.-EDISI UKAS

Share

add comment