Kampung Empila, Kawasan Ke-4 Dilaksana PKPD Di Kota Samarahan

JUMAAT, 4 JUN 2021

KOTA SAMARAHAN: Kira-kira 2,200 penduduk dari 443 keluarga di Kampung Empila telah diarahkan untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 4 Jun hingga 17 Jun 2021.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan media pada Khamis memaklumkan perkara itu berikutan didapati berlaku penyebaran kes secara sporadik yang boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19 berlaku dengan lebih pantas dan membahayakan lebih ramai orang.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang ketika dihubungi berkata, beliau bimbang terhadap peningkatan kes di Daerah Samarahan kerana pelaksanaan PKPD di Kampung Empila merupakan yang keempat dilaksanakan di daerah berkenaan dalam tempoh 14 hari.

“Setakat ini difahamkan sebanyak 24 kes positif COVID-19 dilaporkan yang melibat kluster Muara Tabuan dan setelah melaksanakan penelitian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Samarahan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Kampung Empila bagi mengelakkan penularan berlaku di luar kawasan.

“Saya berasa amat sedih kerana ini merupakan kawasan keempat dalam tempoh 14 hari yang menjalani PKPD setelah dilaksanakan di Kampung Tanjung Bundong, Kampung Sindang dan Kampung Stakan Melayu,” ujarnya semasa mengulas situasi terkini Covid-19 di Kota Samarahan.

Justeru beliau berharap dengan pelaksanaan PKPD, ia dapat mengurangkan risiko jangkitan dan penularan wabak COVID-19 di kawasan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, beliau memohon Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk memainkan peranan dengan memastikan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dipatuhi bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“KMKK juga diminta untuk sentiasa memaklumkan  penduduk di kawasan masing-masing untuk terus berdisiplin dan serta mematuhi SOP berkenaan dan mengamalkan ‘self lockdown’ iaitu dengan tidak keluar dari rumah melainkan jikalau terdapat kecemasan urusan kecemasan dan juga perkara-perkara penting yang lain,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rubiah turut mengingatkan masyarakat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi memastikan imuniti kelompok dapat direalisasikan di Parlimen Kota Samarahan.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya sentiasa memantau rapat perkembangan terkini penularan wabak COVID-19 dengan berhubung lebih kerap bersama JPBNS serta mempersiapkan para petugas barisan hadapan dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang.-EDISI UKAS

Share

add comment