Kerajaan Sarawak Lulus Dana Tambahan RM15 Juta Bagi Program Bantuan Bekalan Makanan

JUMAAT, 4 JUN 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan dana tambahan sebanyak RM15 juta bagi membiayai peruntukan bantuan bekalan makanan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penambahan dana itu adalah disebabkan oleh peningkatan jumlah penerima terutamanya dari kumpulan B40 dan dana tersebut akan disalurkan kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB).

Dalam satu kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan secara atas talian di Wisma Sumber Alam di sini pada Jumaat, beliau memberitahu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah bersetuju untuk memberikan tambahan dana sebanyak RM15 juta tersebut.

“JPBB akan menguruskan pengagihan bantuan makanan dengan sokongan pusat khidmat, agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK), pemimpin masyarakat serta NGO,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Rantaian Bekalan Makanan menambah, pembelian bantuan makanan akan diuruskan oleh JPBB mengikut peruntukan yang diberikan kepada setiap daerah. –EDISI UKAS

Share

add comment