Ketua Menteri Bersama Menteri Kabinet, ADUN GPS, Setiausaha Politik, Penjawat Awam Sumbang Dua Bulan Gaji, Elaun Kepada Tabung Bencana Sarawak

JUMAAT, 4 JUN 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan komitmen dan keprihatinan dengan nasib rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik COVID 19.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg membuat keputusan sebulat suara dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Sarawak untuk menyumbang dua bulan gaji Ahli-ahli MMKN dan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) termasuk Setiausaha Politik kepada Tabung Bencana Sarawak.

Sumbangan tersebut akan dibuat melalui potongan gaji bulanan mulai Jun 2021 yang dijangka berjumlah RM3 juta.

Potongan gaji bulanan daripada Ketua Menteri (30%), Timbalan Ketua Menteri (25%), Menteri (20%), Speaker (20%), Menteri Muda (15%), ADUN (10%) dan Setiausaha Politik (5%).

Selain itu, kerajaan Sarawak juga memutuskan bahawa penjawat awam Sarawak akan turut menyumbang sejumlah Imbuhan Tetap Keraian (ITK) selama dua bulan mulai Julai 2021.

Potongan ITK yang diterima daripada Gred Utama A atau Gred Khas A dan setara ke atas (50%), Gred Utama B atau Gred Khas B dan setara ke atas (20%), Gred Utama C atau Gred Khas C dan setara ke atas (10%), Gred 43 hingga 56 dan setara (5%), dan Gred 29 hingga 42 dan setara (RM10).

Kadar sumbangan yang melibatkan hampir 7,000 penjawat awam termasuk pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri ini dijangka berjumlah RM300,000.

Bagaimanapun, anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung bagi pembendungan serta pengawalan wabak COVID-19 adalah dikecualikan daripada pemberian sumbangan ini. –EDISI UKAS

Share

add comment