Masyarakat Di Miri Diingatkan Patuhi SOP PKP

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mengingatkan masyarakat yang melakukan pergerakan keluar rumah agar mematuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan kerajaan.

Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Khamis berkata, ini penting sebagai langkah mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 selain mendisiplinkan diri sepanjang PKP ini.

“Kapasiti aktiviti pekerjaan bagi awam dan swasta masing-masingnya tidak melebihi 20 peratus bagi perkhidmatan awam untuk proses kerja secara Bekerja Dari Rumah (BDR) dan 30 peratus bagi perkhidmatan swasta pada satu-satu masa yang ditentukan oleh majikan masing-masing. 

“Orang ramai yang turun bekerja pula perlu memastikan mereka mematuhi SOP PKP dengan di bawah perkhidmatan perlu (essential services) hendaklah membawa surat pengesahan majikan, begitu juga pekerja perkhidmatan awam dan swasta mereka mesti menunjukkan surat pengesahan majikan kepada petugas-petugas Sekatan Jalan Raya (SJR). 

“Kalau hendak membeli barangan keperluan seperti bahan makanan, hanya dibenarkan untuk membeli dalam lingkungan kawasan mereka sahaja dan jangan keluar dari kawasan. Sebagai contoh, di kawasan Riam ada beberapa pasaraya jadi mereka boleh membeli di dalam kawasan tersebut, tidak perlu pergi ke bandar. Di kawasan Pujut, Krokop, Permyjaya, Desa Senadin, Tudan dan Lutong juga masing-masing ada pasaraya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di beberapa kawasan Sekatan Jalan Raya pada Khamis. 

Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut mengulas mengenai barisan yang terlalu panjang di semua SJR di Miri pada Khamis. 

“Saya telah berhubung dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk membuka SJR kepada dua lorong bagi mengurangkan barisan yang terlalu panjang dan mempercepatkan proses pemeriksaan,” ujarnya. 

Katanya lagi, polis tidak akan teragak-agak untuk mengarahkan pemandu kenderaan berpatah balik sekiranya tidak menunjukkan surat pengesahan majikan atau tidak menunjukkan alasan yang munasabah seperti yang digariskan dalam SOP PKP. 

Ini selepas didapati masih banyak kenderaan berada di atas jalan raya pada Khamis di beberapa lokasi SJR pada Khamis. 

Dalam perkembangan sama, JPBB Miri memaklumkan terdapat dua buah fasiliti untuk meningkatkan keupayaan pengurusan berkaitan dengan COVID-19 di Bahagian Miri kini telah diaktifkan. 

Lokasi tersebut ialah Dewan Suarah Miri untuk aktiviti pengeluaran Release Order serta Pusat Pembuangan Gelang dan Stadium Miri sebagai Covid Assessment Centre (CAC). 

Kedua-dua fasiliti tersebut telah diaktifkan sejak 31 Mei 2021 bagi tujuan mengurangkan kesesakan di Stadium Tertutup Miri yang dikhaskan untuk pelaksanaan ujian calitan COVID- 19.

Dalam perkara berasingan, Hospital Miri mengingatkan orang ramai untuk datang menerima vaksin mengikut masa dan temujanji yang telah ditetapkan

Sepanjang tempoh dua bulan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pihak Hospital Miri mendapati seramai 8 hingga 30 peratus penerima tidak dapat hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

Misalnya, pada 30 Mei 2021, seramai 90 penerima vaksin telah membatalkan janji temu sebelum tarikh pemberian vaksin, manakala pada hari sebenar vaksinasi, seramai 34 penerima vaksin didapati gagal hadir dan ini mencatatkan peratusan yang tinggi iaitu sebanyak 30 peratus. 

Hanya dengan melengkapkan dua dos vaksin bagi pembentukan antibodi agar seseorang itu akan dilindungi secara optima serta untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0