Miri Catat 4 Kluster Baharu, 11 Kluster Aktif

JUMAAT, 4 JUN 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan media pada Jumaat berkata sebanyak empat kluster baharu dan 11 kluster aktif telah dicatatkan di Bahagian Miri setakat 3 Jun 2021.

Empat kluster baharu yang dilaporkan di Miri merupakan kluster di tempat kerja melibatkan premis makanan dan hiburan, pasar awam, kedai perabot dan restoran makanan segera. 

Premis makanan dan hiburan yang terletak di Jalan Haji Lampam (Kluster Jalan Haji Lampam) di mana 143 telah disaring dengan 24 dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 102 dikesan negatif dan 17 masih menunggu keputusan ujian saringan.  

Pasar awam yang terletak di Jalan Brooke (Kluster Jalan Brooke) di mana 121 disaring dengan 23 dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 89 dikesan negatif dan 9 masih menunggu keputusan ujian saringan. 

Kedai perabot yang terletak di Jalan Jee Foh 8 dan gudang beras yang terletak di Jalan Cattleya 2B (Kluster Jee Cattleya) di mana 145 disaring dengan 27 dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 100 dikesan negatif, dan 18 masih menunggu keputusan ujian saringan. 

Restoran makanan segera yang terletak di Jalan Miri-Bintulu (Kluster Jalan Pinang Riam) di mana 130 disaring dengan 15 dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 106 dikesan negatif dan 9 masih menunggu keputusan ujian saringan. 

Kesemua kes positif COVID-19 telah dirujuk ke hospital untuk rawatan dan pemantauan dan telah dimasukkan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Daerah Miri dengan kesemua kontak rapat telah dikuarantin di rumah masing-masing. 

Sementara itu, 11 kluster yang masih aktif ialah Kluster Abak Bon (237 kes), Kluster Sains Bakam (43 kes), Kluster Jalan Agama (201 kes), Kluster Long Jegan (116 kes), Kluster Jalan Limbang (192 kes), Kluster Jalan Lilin (67 kes), Kluster Jalan Dato Permaisuri (61 kes), dan terbaru ialah Kluster Jalan Haji Lampam (24 kes), Kluster Jalan Brooke (23 kes), Kluster Jee Cattleya (27 kes) dan Kluster Jalan Pinang Riam (15 kes).

Sehubungan itu, JPBB Miri mengingatkan tanggungjawab majikan untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan COVID-19 di tempat kerja seperti menggalakkan pekerja yang bergejala untuk duduk di rumah dan memaklumkan pihak  atasan, pemeriksaan semua pekerja sebelum masuk kerja seperti suhu dan gejala. 

Juga, menerapkan aktiviti sanitasi tangan untuk pekerja di pintu masuk tempat kerja, memastikan semua pekerja sentiasa memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan, memastikan terdapat penjarakan antara pekerja di tempat kerja, memastikan pekerja tidak berkumpul atau makan bersama, memastikan aktiviti pembersihan dan pembasmian kuman di tempat kerja dijalankan secara berkala dan menggunakan kaedah komunikasi secara maya. 

Masyarakat juga dinasihatkan untuk berada di rumah, elakkan perhimpunan sosial berkumpulan dan sebarang pergerakan tanpa tujuan penting, serta senantiasa mengamalkan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka. 

Masyarakat disarankan untuk mengikuti garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0