Pasukan KKM Ke Long Lamai Laksanakan Ujian Saringan COVID-19

JUMAAT, 4 JUN 2021

MIRI: Seramai 7 anggota pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Miri telah berlepas ke Long Lamai bagi melakukan siasatan dan melaksanakan ujian saringan COVID-19 bagi penduduk Long Lamai. 

Pengambilan ujian calitan COVID-19 ini dilakukan susulan satu kes positif telah dikesan melalui Pengesanan Kontak Rapat (ACD) oleh KKM Miri membabitkan seorang wanita yang pulang ke Miri selepas menghadiri upacara pengkebumian ibunya di Long Lamai pada dua minggu lepas. 

Kontak rapat daripada kalangan keluarga yang telah dikenal pasti telah diambil ujian calitan COVID-19 dan ditempatkan di Pusat Kuarantin di Miri sementara menunggu keputusan ujian calitan COVID-19 dikeluarkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, mereka dibawa menerusi penerbangan “Mercy Flight” dengan pesawat AW139 (9M-BOD) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM). 

Penerbangan sortie pertama yang berlepas pada jam 9:17 pagi untuk menghantar pasukan KKM berserta set kit PCR Test telah selamat tiba di Long Lamai pada 10:27 pagi. 

Pesawat AW139 JBPM telah balik ke Miri dan selamat sampai pada 11.30 pagi dan akan berlepas semula pada jam 4:00 petang nanti untuk mengambil pasukan KKM balik ke Miri.

Menurut juruterbang, Kapten Faridullahamin, sepanjang misi cuaca baik kecuali pada tengahari hujan lebat di Miri. 

Beliau telah dibantu dua orang pembantu juruterbang Clive dan Sarifudin serta seorang AQM Saravanan. -EDISI UKAS

Share
0