Penduduk Kampung Empila Dikehendaki Jalani ACD Pada 5 Jun 2021

JUMAAT, 4 JUN 2021

SAMARAHAN: Penduduk Kampung Empila di sini dikehendaki menjalani pengesanan kes secara aktif (ACD) pada 5 Jun ini.

Mereka dikehendaki menjalani ujian swab yang akan dijalankan di pekarangan Masjid Kampung Empila, bermula dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.

Ini susulan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Empila bermula 4 Jun sehingga 17 Jun 2021.

Sementara itu, Jabatan Penerangan Daerah Samarahan telah melaksanakan hebahan ‘Info On Wheel’ bagi memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kepada orang ramai di Kampung Empila, Kota Samarahan, pada Khamis.

Unit Bergerak JAPEN Daerah Samarahan telah melaksanakan hebahan tersebut dengan memaklumkan semua penduduk dikehendaki berada di rumah masing-masing dan tidak dibenarkan keluar bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Penduduk yang telah diarahkan menjalani kuarantin juga diminta untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing dan tidak dibenarkan keluar dari rumah.

Sekiranya gagal mematuhi arahan akan dikenakan kompaun dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta 342 dengan nilai kompaun RM5,000. -EDISI UKAS

Share

add comment