Projek Sambungan Makmal Molekul Hospital Miri Kini Bermula

JUMAAT, 4 JUN 2021

MIRI: Kerja-kerja menyambungan Makmal Molekul Hospital Miri mula dilaksanakan pada Khamis dengan penyerahan rasmi bangunan akan dilakukan pada 11 Jun 2021. 

Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam kenyataan media Khamis berkata, projek penyambungan ini mempunyai empat aspek iaitu pembinaan bangunan, kerja M&E, peralatan perubatan dan bukan peralatan perubatan yang berjumlah RM750,000. 

Penolong Setiausaha (Korporat) MBM, Mohd Zaidi Adrus Razali  dalam perbincangan secara maya telah memberikan penerangan kepada Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang mengenai projek tersebut. 

Katanya, objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan kapasiti ujian PCR di Makmal Molekul Hospital Miri dari 800 hingga 1,400 ujian sehari.

Manakala, objektif sekunder merangkumi mempercepat penyampaian hasil ke Person Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS).

Sementara itu, Adam Yii memberitahu beliau gembira dengan perjumpaan maya yang diadakan ini dan disifatkan membuahkan hasil. 

MBM akan memberikan sokongan penuh kepada pelaksanaan projek ini dan memastikan dana yang diberikan digunakan dengan sebaiknya. 

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada  beberapa pihak yang telah sama membantu mereka yang terkena wabak COVID-19 di Miri dan menubuhkan perkhidmatan farmasi pandu lalu di Hospital Miri dan Klinik Tudan. 

Pada masa sama mengharapkan lebih banyak persatuan berganding bahu dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri untuk menjayakan projek komuniti ini.

Turut sama dalam perbincangan maya itu ialah Pemaju Perumahan dan Harta Tanah Sarawak (Cawangan Miri), Rotary Club of Miri Oil Town (RCMOT), Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Miri Sarawak (Bahagian Belia) dan The Advocates Association of Sarawak (Cawangan Miri). -EDISI UKAS

Share

add comment