JUMAAT, 4 JUN 2021
SEBUYAU: Sembilan keluarga di Kampung Seberang Sebuyau yang dikuarantinkan susulan dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima sumbangan makanan daripada Pusat Khidmat DUN N.27 Sebuyau.
Sumbangan makanan asas itu telah disampaikan oleh Pemanca Asli Yahya mewakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi kepada wakil penduduk kampung iaitu Wan Johar Wan Omar di Kampung Seberang Sebuyau, pada Jumaat.
Mewakil ADUN, beliau turut berharap bantuan tersebut dapat meringankan kesulitan yang dihadapi penduduk ekoran penularan wabak COVID-19 di kampung berkenaan.
Beliau turut mengingatkan penduduk kampung agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, beliau turut memohon kerjasama penduduk Kampung Seberang supaya membuat saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Sebuyau untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing.
Wan Johar yang mewakili penduduk yang dikuarantin pula merakamkan penghargaan kepada Datuk Julaihi di atas sumbangan yang diberikan kepada mereka yang amat memerlukan. -EDISI UKAS