100 Pekerja Didapati Positif COVID-19, Kilang Pelebur Diarahkan Tutup

SABTU, 5 JUN 2021

BINTULU: Sebuah kilang pelebur di kawasan Perindustrian Samalaju telah diarahkan tutup operasinya selama 14 hari bermula Jumaat. 

Ini selepas terdapat lebih 100 orang pekerja kilang itu disahkan positif COVID-19. 

Susulan itu, pekerja terbabit yang terdiri daripada warga tempatan dan asing yang disahkan positif dikuarantin di dua blok kuarters pekerja tersebut dan ujian saringan COVID-19 turut dijalankan secara berperingkat ke atas semua pekerja kilang berkenaan. 

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing yang turut sama dalam tinjauan itu ketika ditemui berkata, sebuah Pusat Kawalan dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) COVID-19 akan ditubuhkan di kawasan itu bagi menyediakan perkhidmatan perubatan dan rawatan kepada pekerja yang dijangkiti COVID-19. 

“Pesakit akan menjalani kuarantin di PKRC ini dan hanya akan dirujuk ke Hospital Bintulu sekiranya berisiko dan mengalami simptom serius, katanya lagi. 

“Ini kerana tempoh perjalanan yang memakan masa hampir dua jam perjalanan secara ulang alik,” katanya pada Jumaat.

Dalam masa yang sama beliau akan meminta pihak Jabatan Tenaga Buruh untuk menjalankan kajian berkenaan tahap kebersihan dikuarters pekerja kilang tersebut yang didapati tidak memuaskan.

Mengulas lanjut, Datuk Sri Tiong menegaskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu memandang serius ke atas perkara ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak pengurusan kilang berkenaan. 

Perkara ini akan dirujuk kepada Kementerian Kerajaan Tempatan  untuk tindakan lanjut. 

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Melvin Chung, Timbalan Pengarah Hospital Bintulu, Dr Sivashunmugam Sangaran dan Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu, Law Pit Hwa. -EDISI UKAS

Share
0