106 Individu Terima Suntikan Vaksin Di PPV Klinik Kesihatan Balingian

SABTU, 5 JUN 2021

BALINGIAN: Hari pertama proses pemberian vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Balingian berjalan dengan lancar dengan 106 individu menerima suntikan pada Jumaat.

Penerima di PPV berkenaan kebanyakannya warga emas dan mereka yang memiliki sejarah komorbid.

Menurut Residen Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, PPV Klinik Kesihatan Balingian akan menyediakan pemberian vaksin kepada penduduk terdekat.

“Ini adalah hari yang pertama Klinik Kesihatan Balingian melakukan pemberian vaksin kepada penduduk terdekat. Hari ini Klinik Kesihatan Balingian menerima 106 penerima vaksin manakala untuk daerah Mukah sebanyak 580.

“Jadi kita hendak melihat flow kerja dan juga melihat penerimaan masyarakat,” katanya kepada UKAS semasa meninjau PPV Klinik Kesihatan Balingian pada Jumaat.

Beliau turut menggesa mereka yang telah menerima temujanji agar datang untuk menerima vaksin.

Sementara itu, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi turut turun padang untuk melihat sendiri sambutan daripada rakyat terhadap program vaksinasi di kawasannya.

Ketika ditemuramah, beliau menyeru orang ramai di kawasan itu mendaftar segera untuk menerima vaksin.

“Janganlah takut kepada vaksin kerana ia adalah selamat. Jadi cepat-cepatlah kita mendaftar. Vaksin ini dapat menjaga sendiri dan dapat menjaga masyarakat,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Hamdiah, Pegawai Daerah, Kesihatan dan semua frontliner yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan PPV itu.

Terdahulu, Abdul Yakub dan Hamdiah menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan daripada pihak MOSTI kepada PPV Klinik Kesihatan Balingian.

Klinik Kesihatan Balingian pertama kali dijadikan menjadi PPV bagi memudahkan penduduk di sekitar Balingian, Kuala Balingian, Setuan, Setejuk termasuk Liok menerima vaksin. – EDISI UKAS

Share

add comment