3,100 Bakul Makanan Mula Diagih Kepada KIR Ranting Cawangan N8 Satok

SABTU, 5 JUN 2021

KUCHING: Sebanyak 3,100 bantuan bakul makanan mula diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di semua ranting cawangan N8 Satok bermula pada Sabtu hingga Selasa depan.

Agihan bermula di empat cawangan ranting iaitu Ranting Kudei Baru Iban, Ranting Kampung No 4, Ranting Masjid dan Ranting Masjid (Bintangor Kecil) yang membabitkan sebanyak 294 pek makanan.

Ranting Masjid menerima sebanyak 80 pek makanan dan akan diagihkan kepada KIR dari 55 rumah di sekitar Kampung Masjid manakala Ranting Masjid (Kampung Bintangor Kecil) menerima sebanyak 55 pek makanan.

Menurut Penghulu Kampung Masjid, Iskandar Landau, pihaknya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana prihatin dengan nasib rakyat yang berdepan kekangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di atas sumbangan bantuan ini.

“Ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri kita terhadap nasib masyarakat yang ketika ini sedang berdepan kesukaran akibat pelaksanaan PKP dan penularan Covid-19.

“Di kesempatan ini juga saya menyeru semua masyarakat khususnya di kawasan N8 Satok untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan agar wabak Covid-19 ini dapat kita atasi,” katanya ketika ditemuramah semasa majlis penyerahan bantuan itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Kaum Abang Lahop Abang Tamrin yang mewakili Kampung Bintangor Kecil turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Ketua Menteri di atas sumbangan yang amat diperlukan itu.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai yang belum mendaftar program vaksinasi untuk segera berbuat demikian agar sasaran untuk mewujudkan imuniti kelompok dapat dicapai.

Nasihatnya kepada mereka yang dipanggil untuk menerima vaksin agar tidak menolak pada saat akhir sambil menambah suntikan vaksin sangat penting sebagai perlindungan diri dan masyarakat sekeliling.

Beberapa penerima yang ditemui turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri di atas bantuan yang amat diperlukan itu. – EDISI UKAS

Share
0