Dewan Suarah Miri Kini Sebagai Tempat Pengeluaran ‘Release Order’ dan Pembuangan Gelang

SABTU, 5 JUN 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah mengaktifkan  Dewan Suarah sebagai Pusat Pengeluaran Release Order dan Pembuangan Gelang sejak 31 Mei lalu.

Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, mereka yang selesai menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari dan mendapat keputusan ujian calitan COVID-19 negatif boleh datang ke Dewan Suarah bagi mendapatkan release order serta pembuangan gelang.

“Orang ramai yang hadir di fasiliti ini telah selesai menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari dan keputusan ujian swab adalah negatif. 

“Mereka datang ke sini untuk mendapatkan release order dan pembuangan gelang.

“Tempat ini sesuai kerana mempunyai tempat letak kereta yang luas, tempat duduk disediakan dan lebih selesa daripada dahulu,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau Proses Pengeluaran Release Order danPembuangan Gelang di Dewan Suarah Miri pada Jumaat.

Sebelum ini, pusat pembuangan gelang serta pengeluaran release order dilakukan di Pusat Sehenti COVID-19 Stadium Tertutup Bandaraya (Miri Indoor Stadium), tetapi mengambil kira kesesakan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), JPBB Miri telah membuka satu lagi fasiliti di Dewan Suarah Miri bagi tujuan yang sama. 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut mengesahkan Pusat Penilaian COVID (CAC) telah beroperasi di Stadium Terbuka Miri dan ini sekaligus menjadikan Bahagian Miri mempunyai tiga (3) buah fasiliti yang mempunyai keupayaan pengurusan berkaitan dengan COVID-19. Fungsi Stadium Tertutup Bandaraya (Miri Indoor Stadium) sekarang hanya khusus kepada aktiviti pengambilan swab, pemberian perintah kuarantin (Quarantine Order) dan Pemakaian Gelang Pemantauan sahaja. 

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas kesesakan aliran trafik di semua lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang berlaku pada Khamis.

“Semalam (Khamis) didapati setelah bercuti dua hari, ada pekerja yang masih belum mempunyai surat pengesahan majikan. 

“Walau bagaimanapun, hari ini (Jumaat) mengesahkan bahawa aliran trafik telah berjalan lancar dan pengguna jalan raya yang melalui SJR memberikan kerjasama baik dengan menunjukkan surat pengesahan majikan di samping kebanyakannya adalah daripada sektor perkhidmatan perlu (essential services),” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau turut menggesa warga bandaraya Miri mematuhi SOP yang telah ditetapkan sebagai usaha membanteras pandemik COVID-19.

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P Raviwharmman dan Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof. -EDISI UKAS

Share

add comment