IPD Serian Perketatkan Pemantauan SOP PKP

SABTU, 5 JUN 2021

SERIAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian meningkatkan pemantauan dalam memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 29 Mei hingga 14 Jun 2021.

Sebanyak tiga lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) dilakukan iaitu di Kampung Rituh KM 40 Jalan Kuching/Serian, Kampung Saan dan KM 6 Jalan Gedong/Serian.

Ianya bertujuan memastikan pematuhan SOP PKP berkaitan had dalam kapasiti kenderaan dan semua aktiviti rentas daerah tanpa kebenaran pihak polis.

Dalam menguatkuasakan sekatan jalan ini, anggota IPD Serian turut dibantu oleh agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan (DSP) Aswandy Anis ketika dihubungi pada Jumaat mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP PKP yang telah digariskan.

Jelas beliau, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun jika individu didapati melanggar SOP.

“Setakat ini sebanyak lima individu telah dikompaun dan saya turut memohon kerjasama penduduk yang tinggal berdekatan sempadan agar memberi maklumat kepada Balai Polis berhampiran sekiranya mendapati pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menceroboh masuk sempadan negara.

“Ini bagi membantu mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan PATI yang dilihat masih serius,” katanya.

Selain SJR tambahnya, pihak IPD Serian juga memberi fokus kepada pematuhan SOP oleh peniaga dan juga pengunjung di pasar raya dan kedai-kedai yang dibenarkan beroperasi semasa PKP.

“Rondaan dan pemantauan turut dilakukan di kampung-kampung setiap masa,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS

Share

add comment