Kampung Jaie Sadong Jaya Dilaksanakan PKPD

SABTU, 5 JUN 2021

ASAJAYA: Seramai kira-kira 2344 orang penduduk yang terdiri daripada 286 keluarga di Kampung Jaie telah diarahkan untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 3 Jun hingga 16 Jun 2021.

Penguatkuasaan PKPD di kawasan berkenaan telah diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak setelah dilaporkan peningkatan kes COVID-19 jangkitan tempatan.

Berdasarkan kepada tinjauan pada Jumaat, didapati terdapat tujuh sekatan jalan raya (SJR) di situ bagi mengawal jalan keluar masuk kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, PKPD di kampung tersebut juga didapati berada dalam keadaan terkawal dimana pergerakan penduduk berkurangan dan mereka masing-masing mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Samarahan menasihatkan penduduk kampung untuk sentiasa mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan 

“Penduduk diminta untuk memberikan kerjasama yang baik kepada petugas barisan hadapan sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 ini,”katanya.-EDISI UKAS

Share

add comment