Kerajaan Negeri Peruntuk RM250,000 Untuk Setiap DUN Bantu Rakyat Terkesan Akibat PKP

SABTU, 5 JUN 2021

SERIAN: Penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadapi masalah bekalan makanan akan menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben, peruntukan yang dikhaskan oleh kerajaan negeri untuk setiap DUN pada kali ini ialah sebanyak RM250,000.

Katanya, senarai ketua isi rumah (KIR) yang dimiliki sekarang akan disemak dengan semua Ketua Kaum atau Tuai Rumah untuk memastikan ianya tepat bagi mengelak pertindihan dan memudahkan proses tuntutan kelak.

Dalam pada itu, ADUN Kedup itu berkata lagi, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak memberi jaminan bahawa bekalan makanan seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum dan mi segera adalah mencukupi.

Tambah beliau, Syarikat Syin Lian Syin Cawangan Serian akan dipertanggungjawabkan untuk menyimpan dan merekod semua bekalan tersebut sebelum diambil oleh para petugas yang diberi kebenaran sahaja.

Martin memberitahu lagi, pada tahun 2020 iaitu semasa PKP 1.0, bagi DUN Kedup sahaja seramai 5,269 ketua isi rumah telah diberi bantuan bekalan makanan. -EDISI UKAS

Share

add comment