Operasi Pusat Hiburan Perlu Ditutup Semasa PKP

SABTU, 5 JUN 2021

MIRI: Operasi pusat hiburan perlu ditutup semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, telah menerima aduan daripada orang ramai berhubung dengan beberapa pusat hiburan seperti Bistro dan Pub masih beroperasi dan ada yang beroperasi melebihi jam 8.00 malam. 

“MBM menegaskan bahawa aktiviti hiburan tersebut tidak dibenarkan beroperasi termasuk Karaoke dan harus menghentikan operasi semasa PKP berkuat kuasa mulai 28 Mei hingga 14 Jun 2021.

“MBM juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap mereka yang tidak memperhatikan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP ini,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, MBM memaklumkan pasukan penguatkuasa yang dianggotai penguatkuasa MBM, anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan anggota agensi-agensi lain akan menjalankan operasinya.

Bagi pengendali berlesen yang didapati berdagang dalam tempoh ini mereka akan diberikan notis kompaun dan lesen operasi mereka juga boleh ditarik balik. 

Sementara bagi mereka yang tidak berlesen, pihak berkuasa akan melakukan tindakan undang-undang selain menyita harta benda dan peralatan mereka.

Untuk itu, masyarakat umum khususnya pengusaha perniagaan di Miri mematuhi SOP demi keselamatan diri dan masyarakat. -EDISI UKAS

Share
0