Seramai 5,910 KIR Dari Bukit Semuja Akan Terima Bantuan Bakul Makanan Daripada Kerajaan Sarawak

SABTU, 5 JUN 2021

SERIAN: Seramai 5,910 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja dijangka menerima sumbangan bantuan bakul makanan daripada kerajaan Sarawak.

Bakul makanan tersebut merupakan bantuan fasa keenam dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) sumbangan daripada kerajaan Sarawak kepada isi rumah yang terjejas di seluruh negeri.

Ia sekaligus membantu meringankan beban rakyat menghadapi kesan penularan COVID-19 dan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula 29 Mei lepas sehingga 14 Jun 2021.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berharap proses penghantaran bakul makanan berjalan dengan lancar mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Jelasnya, dalam fasa pertama, seramai 1,000 KIR dari 10 buah kampung dari kawasan DUN Bukit Semuja menerima bakul makanan pada Sabtu.

“Pengagihan bakul makanan diagihkan secara berperingkat dan tiga tempat dikenalpasti sebagai tempat pemunggahan dan pembungkusan iaitu di Balai Raya Kampung Rasau, Dewan Kampung Riih Daso dan Dewan Serbaguna Kampung Ranchan.

“Antara 10 buah kampung tersebut ialah, Kampung Rasau, Kampung Belimbing A, Kampung Belimbing B, Kampung Bedup Sg. Cina, Kampung Selabi Plaman, Kampung Selabi Sangkam, Kampung Selabi Entukuh, Kampung Simpang Gedong, Kampung Triboh dan Kampung Remun,” katanya semasa majlis simbolik penyampaian sumbangan bakul makanan di Balai Raya Kampung Rasau Serian pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan seluruh penduduk Bukit Semuja dan Serian secara amnya agar sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Amalkan budaya norma baru dalam kehidupan dan fahami SOP bagi memerangi COVID-19,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS

Share

add comment