ADUN Demak Laut Sediakan Perkhidmatan Pengangkutan Percuma Ke Pusat Pemberian Vaksin

AHAD, 6 JUN 2021

KUCHING: Menyedari masalah pengangkutan menjadi sebagai salah satu faktor kepada kelewatan penerima vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma ke PPV. 

Dalam entri yang dimuat naik dalam Facebooknya pada Ahad, Dr Hazland berkata  perkhidmatan pengangkutan percuma ini akan diselaraskan Pusat Khidmat DUN N5 Demak Laut. 

“Perkhidmatan pengangkutan percuma ke PPV dikhususkan untuk penduduk Demak Laut yang menerima suntikan vaksin COVID-19 dan tidak mempunyai kenderaan.

“Mereka yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan percuma ini perlu mempunyai tarikh temu janji vaksinasi dan memaklumkan sehari lebih awal ke Pusat Khidmat DUN Demak Laut sehari sebelum temu janji vaksinasi. 

“Penerima vaksin hanya perlu menghubungi nombor Pejabat Pusat Khidmat DUN N5 Demak Laut di talian 082-432209 dan 019-8586404 atau menerima pesanan whatapp 017-8585007,” katanya. 

Tambah Dr Hazland lagi, setiap kenderaan hanya dibenarkan membawa dua orang sahaja berdasarkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 

“Untuk setiap penghantaran ke PPV hanya dua orang sahaja dibenarkan bergerak dalam satu masa bagi mematuhi SOP PKP. 

“Ini bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19 selain menjaga keselamatan masyarakat yang akan menerima suntikan vaksin COVID-19,” tambahnya. 

Di Kuching, ada tiga PVV yang terdekat dengan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut iaitu di Stadium Perpaduan Negeri, Hospital Umum Sarawak (HUS) dan terbaru Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) untuk vaksin AstraZaneca. -EDISI UKAS

Share

add comment