IKBN Dipilih Sebagai PPV AstraZeneca Bahagian Miri

AHAD, 6 JUN 2021

MIRI: Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri akan mula digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca Bahagian Miri bermula pada 7 Jun sehingga 27 Julai 2021 ini. 

Perkara ini dimaklumkan Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Sabtu selepas mengadakan tinjauan ke IKBN Miri.  

Dalam pada itu, beliau juga memohon kerjasama daripada orang ramai yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 agar mendaftar segera melalui aplikasi MySejahtera.

“Sesiapa yang belum daftar sila daftar secepat mungkin untuk vaksinasi.

“Jika tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tiada akses kepada internet, sila berdaftar dengan Pejabat-pejabat Daerah melalui Ketua Kaum iaitu Ketua Kampung, Kapitan dan Tuai Rumah, melalui Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi atau mendaftar di Klinik Kesihatan yang berdekatan (bagi kawasan pedalaman sahaja),” katanya. 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menggesa orang ramai yang menerima temu janji melalui aplikasi MySejahtera dan panggilan untuk menerima vaksin agar datang 30 minit lebih awal atau tepat pada waktunya. 

“Individu yang menerima notifikasi janji temu melalui aplikasi MySejahtera mesti hadir tepat pada waktunya atau 30 minit awal, dan mereka yang belum menerima notis janji temu tidak boleh pergi secara walk in, ujarnya.

Turut sama hadir Pemangku Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri  Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian, Jabatan Kesihatan Bahagian Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pegawai RELA Daerah Miri Mohamad Afizi Salam, Penguasa Kanan Bomba II dan Health Care Organiser (HCO) Dr. Kang Tzin Rong dari Kang Family Clinic yang bertanggungjawab untuk pemberian vaksin AstaZeneca. -EDISI UKAS

Share

add comment