JKM Serah Bantuan Bakul Makanan Kepada Rumah Panjang Di Ulu Skrang

AHAD, 6 JUN 2021

SRI AMAN: Prihatin dengan nasib penduduk di Rumah Panjang Tr. Unya, Jambu Arab, Ulu Skrang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman telah menyerahkan bantuan bakul makanan kering kepada penduduk terjejas pada Sabtu.

Bantuan tersebut adalah bagi meringankan bebanan mereka semasa dalam tempoh kuarantin.

Sehubungan itu, bakul makanan tersebut telah diserahkan kepada 21 Ketua Isi Rumah (KIR) yang melibatkan kira-kira 70 orang penduduk rumah panjang itu.

Di samping itu, penduduk rumah panjang juga telah dinasihatkan agar sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang mereka dalam masa kuarantin.

Oleh demikian, segala pergerakan mereka sentiasa diawasi oleh pihak berkuasa supaya tidak bolos keluar dan masuk daripada kawasan larangan dalam memutuskan penularan rantaian COVID-19.

Dalam pada itu, penduduk rumah panjang tersebut mengucapkan terima kasih kepada JKM Bahagian Sri Aman dan kerajaan Sarawak kerana sangat prihatin dengan situasi yang dihadapi mereka. -EDISI UKAS

Share

add comment