Masyarakat Di Daerah Tatau Diminta Peka Tarikh Temu Janji Terima Vaksin, Belia 18 Tahun Digalak Sertai Sukarelawan MyVacc

AHAD, 6 JUN 2021

TATAU: Pada April lepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 1 bagi petugas barisan hadapan di Daerah Tatau telah selesai dan kini fasa kedua sedang diadakan yang dikhususkan kepada warga emas dan golongan rentan yang mempunyai risiko penyakit. 

Sehubungan itu, Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong memohon masyarakat di Daerah Tatau sentiasa peka dengan tarikh temu janji mereka melalui aplikasi MySejahtera atau bertanya kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) atau Tuai Rumah masing-masing.

“Pihak Pejabat Daerah Tatau ada berkongsi senarai penerima vaksin yang telah dikeluarkan oleh pihak KKM dalam platform media sosial seperti dalam WAG KMKK Daerah Tatau dan lain-lain. 

“Oleh yang demikian saya menyeru khususnya masyarakat di kawasan hulu agar menghubungi Tuai-Tuai Rumah masing-masing atau menghubungi Klinik Kesihatan Tatau di talian 086-584289 atau Pejabat Daerah Tatau di talian 086-584349 untuk bertanya adalah nama mereka disenaraikan dalam senarai nama individu yang akan mendapat suntikan vaksin seperti jadual yang telah ditetapkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemu bual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Sabtu.

Dalam pada itu, Calvin juga meminta golongan belia yang berumur 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan sedang menunggu keputusan peperiksaan untuk menyertai Sukarelawan MYVacc di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sukan Tatau.

“Saya juga menyeru golongan beliayang berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan khususnya mereka menunggu menyambung pelajaran supaya menyertai sukarelawan MyVacc di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Sukan Tatau. 

“Sukarelawan ini amat diperlukan untuk melancarkan proses proses pemberian vaksin di sini. 

“Sesiapa yang berminat boleh berhubung dengan Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Bintulu,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS