6 JUN 2021
KUCHING : Pemberian suntikan vaksin jenis Astrazeneca di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) akan bermula esok, sehingga akhir Julai ini.
Tinjauan UKAS di pusat pemberian vaksin (PPV) Astrazeneca di BCCK pada Ahad, mendapati persiapan sedang giat dijalankan.
Komandan PPV BCCK, Dr Cheong Yaw Liang berkata, untuk tiga hari pertama dijangka 1,000 orang akan menerima suntikan dalam satu hari, manakala jumlah penerima akan ditambah selepas tiga hari.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, lapan bilik vaksinasi telah disediakan di mana tujuh untuk kegunaan umum manakala satu bilik untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
“Berlainan dari PPV sekitar Sarawak, PPV BCCK mempunyai sebuah ruangan senyap (silent room) yang dikhaskan untuk golongan istimewa seperti OKU, autisme dan sebagainya.” ujarnya lagi.
Tambah beliau lagi, berikutan sambutan memberangsangkan orang ramai terhadap vaksin Astrazeneca, kerajaan telah memasukkan kembali vaksin tersebut ke dalam senarai vaksin arus perdana program imunisasi kebangsaan COVID-19.
Selain di BCCK, PPV khas buat vaksin Astrazeneca turut dibuka di Pusat Kemahiran Belia Negara di Miri.-EDISI UKAS