Pertandingan Fotografi Buah-Buahan Tempatan Tarik Penyertaan Warga Miri

AHAD, 6 JUN 2021

MIRI: Unit Khas Miri Coffee Table Book Taskforce di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan dengan kerjasama Persatuan Fotografi Miri telah mengadakan Pertandingan Fotografi Buah-Buahan Tempatan bermula pada 30 April hingga 18 Mei 2021. 

Pertandingan ini diadakan bagi membolehkan MBM menerbitkan edisi baru Buku Miri City Coffee Table Book yang berjudul Miri – Borneo Unik yang akan memaparkan buah-buahan tempatan yang ada di Miri. 

Selain itu, sebagai promosi dan merangsangkan sektor pelancongan Bandaraya Miri, menarik perhatian kepada pelancong mengenai keunikan buah-buahan tempatan melalui atas talian. 

Peserta yang menyertai pertandingan ini telah menghantar 20 keping gambar yang menggunakan dokumen bersaiz digital format JPEG, tidak kurang dari 2MB dan  tidak lebih daripada 4MB serta penyertaan adalah percuma. 

10 pemenang akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM200 untuk setiap gambar yang dipilih dan menerima salinan buku Miri – Borneo Unik. 

Dalam mesyuarat maya yang diadakan pada Sabtu, Presiden Persatuan Fotografi Miri Rick Wong telah membentangkan laporan hasil daripada pertandingan itu dan menyerahkan gambar-gambar yang telah dinilai dan dihakimi kepada Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang. 

Sebanyak 28 penyertaan dengan jumlah 140 keping gambar telah diterima dan 10 peserta telah diumum sebagai pemenang. 

Antara pemenangnya ialah Chiam Tak Chee memenangi tujuh hadiah, Aoron Sim Jun Chiek, Kho Bian Chong dan Than Lin Juin masing-masing memenangi satu hadiah. 

Manakala, seramai tiga orang juri yang mengadili Pertandingan Fotografi Buah-Buahan Tempatan ini terdiri daripada Ang Lip Chuan, Loi Huei Jong dan Leong Choon Min. -EDISI UKAS

Share
0