Program Bantuan Bakul Makanan Sarawakku Sayang Usaha Berterusan Kerajaan Sarawak Bantu Rakyat

AHAD, 6 JUN 2021

SEBUYAU: Program Bantuan Bakul Makanan Sarawakku Sayang merupakan usaha berterusan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membantu rakyat yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 Jun depan.

Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, lebih bermakna apabila Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama anggota kabinet negeri dan penjawat awam Sarawak membuat sumbangan melalui potongan gaji selama dua bulan kepada Tabung Bencana Negeri bagi memerangi wabak COVID-19.

“Sumbangan seumpamanya amat bermakna kerana ianya membuktikan para pemimpin Kerajaan GPS mengambil berat tentang keperluan rakyat yang memerlukan,” katanya semasa meninjau persediaan untuk Bantuan Bakul Makanan Sarawakku Sayang di Dewan Masyarakat Kampung Sampat, Sebangan berhampiran dengan Pusat Khidmat ADUN Sebuyau pada Ahad.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 3,500 orang Ketua Isi Rumah (KIR) dari kawasan Sebuyau akan menerima bantuan bakul makanan bermula hari ini.

Jelas beliau, bantuan bakul makanan tersebut dibahagikan mengikut jumlah KIR di setiap kampung dan rumah panjang.

“Bantuan bakul makanan ini akan dihantar kepada setiap kampung dan rumah panjang oleh para petugas Pusat Khidmat ADUN Sebuyau dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Sebuyau serta barisan kepimpinan kampung dan parti,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment