Sekolah Laksana PDPR Selama 25 hari Bermula Pada 13 dan 14 Jun Ini

AHAD, 6 JUN 2021

KUALA LUMPUR: Setiap sekolah akan melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama 25 hari persekolahan bermula pada 13 dan 14 Jun ini mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin memberitahu, pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Manakala katanya, pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Kemudian murid akan mengikuti PdPR selama 25 hari persekolahan sehingga cuti berikutnya iaitu cuti pertengahan penggal bermula pada 16 Julai bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri kumpulan B.

“Dari tarikh itu bermula cuti pertengahan penggal sehingga 26 Julai untuk negeri kumpulan B dan 25 Julai untuk negeri kumpulan A.

“Jadi itulah takwim atau jadual penggal persekolahan yang ada dan berkuat kuasa pada hari ini,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, pada Ahad.

Tambah beliau, keputusan tersebut turut membabitkan sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang mendaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Selain itu, beliau memberitahu, KPM akan membuat pengumuman lebih awal iaitu seminggu sebelum sesi persekolahan bermula bagi setiap cuti pertengahan penggal.

“Tentu ramai yang akan bertanya apa akan berlaku selanjutnya selepas ini iaitu selepas berakhirnya sesi cuti pertengahan penggal itu.

“Jadi, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya seminggu sebelum persekolahan bermula mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi pada waktu itu,” ujarnya.-EDISI UKAS

Share

add comment