Semua ADUN Kekal Sehingga DUN Sarawak Dibubarkan

AHAD, 6 JUN 2021

KUCHING: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini masih kekal sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, berdasarkan Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak, dengan jelas memperuntukkan bahawa seorang ADUN akan kekal sebagai ADUN sehinggalah DUN Sarawak dibubarkan.

Menurutnya, ini kerana baru-baru ini, terdapat pihak-pihak yang sudah mula mempersoalkan kedudukan ADUN-ADUN di Sarawak selepas 6 Jun 2021. Adakah mereka ini masih merupakan atau masih dianggap ADUN memandangkan tempoh hayat DUN adalah hanya sehingga 6 Jun 2021.

“Memandangkan perintah pengisytiharan darurat masih berkuatkuasa dan peruntukan-peruntukan pembubaran DUN telah digantung dan tidak mempunyai kesan oleh Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, maka kesannya adalah pelantikan ADUN tidak akan tamat pada 6 Jun 2021.

“Ianya akan kekal sehingga terbubarnya DUN melalui pengisytiharan Yang-diPertuan Agong di bawah seksyen 15 atau selepas 1 Ogos 2021 iaitu tarikh tamatnya darurat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menambah, selepas 1 Ogos 2021 dan sekiranya perintah darurat tidak disambung, pilihan raya negeri hendaklah diadakan selaras dengan kehendak Perkara/Article 21(4), Perlembagaan Negeri Sarawak dalam tempoh 60 hari dari tarikh tamatnya darurat pada 1 Ogos 2021 tersebut. -EDISI UKAS

Share

add comment