Seramai 4,456 KIR Dari Asajaya Terima Bantuan Bakul Makanan Daripada kerajaan Sarawak

AHAD, 6 JUN 2021

ASAJAYA: Seramai 4,456 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dari 38 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya akan menerima sumbangan Bantuan Bakul Makanan daripada kerajaan Sarawak.

Bakul makanan tersebut merupakan bantuan fasa keenam dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) sumbangan daripada kerajaan Sarawak kepada isi rumah yang terjejas di seluruh negeri khususnya di kawasan DUN Asajaya.

Pemberian bantuan tersebut sekaligus dapat membantu meringankan beban rakyat menghadapi kesan penularan COVID-19 dan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini yang bermula 29 Mei lepas sehingga 14 Jun 2021.

Sementara itu dalam ucapan ringkasnya, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap, proses pengagihan bakul makanan dapat berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu selama 3 hari bermula semalam dan berakhir pada Isnin.

Jelasnya lagi, pada hari ini (Ahad) hanya diadakan penyampaian simbolik bantuan bekalan makanan di tiga lokasi iaitu Dewan Kampung Sambir, Dewan Bola Keranjang SJKC Chung Hua Asajaya dan Kampung Sampun Tebun, Asajaya.

“Pengagihan bakul makanan diagihkan secara berperingkat melalui tiga fasa bermula semalam dan antara 38 buah kampung tersebut ialah Kampung Sambir, Sebandi Ulu, Serpan Laut, Rebak, Asajaya Cina, Asajaya Ulu, Asajaya Ulu Lot, Asajaya Ulu (An Najah), Sebandi Matang, Beliong Cina, Beliong.

“Seterusnya Kampung Sampun Tebun, Asajaya Tengah, Asajaya Laut, Sebandi Ulu Lot, Sampun Jugu, Sampun Baru, Kuarter Klinik Asajaya, Teluk Sabang, Lubok Kura, Sui, Sri Tajo, Tanjung Apong, Tambirat Cina, Tambey, Tambey Baru, Tambirat Cina, Moyan Laut, Tambirat Ulu, Tambirat Tengah, Tambirat Hilir, Tambirat Lot, Moyan Ulu, Moyan Ulu Lot, Sampun Gerunggang, Sebandi, Serpan Ulu, Moyan Ledang, Sampun Kelili, Serpan Cina dan Kuarters Kerajaan Asajaya,” katanya semasa majlis simbolik penyampaian sumbangan Bantuan Bakul Makanan di Dewan Kampung Sampun Tebun, Asajaya pada Ahad.

Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan seluruh penduduk DUN Asajaya agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

Ujar beliau, mereka juga perlu sentiasa mengamalkan budaya norma baharu dalam kehidupan dan memahami SOP bagi mengekang penularan wabak COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment