Seramai 8,338 KIR Di DUN Tarat Akan Terima Bantuan Bakul Makanan Daripada Kerajaan Sarawak

AHAD, 6 JUN 2021

SERIAN: Seramai 8,338 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat akan menerima Bantuan Bakul Makanan daripada kerajaan Sarawak.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, pengagihan bakul makanan akan diagihkan secara berperingkat.

Menurutnya, ia adalah bagi memudahkan kerja-kerja pembungkusan dan penghantaran bantuan makanan tersebut ke 60 buah kampung di DUN Tarat.

“Bakul makanan ini merupakan bantuan fasa keenam dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) sumbangan daripada kerajaan Sarawak kepada isi rumah yang terjejas di seluruh negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 29 Mei lepas hingga 14 Jun 2021,” katanya semasa melakukan simbolik penyerahan Bantuan Bakul Makanan (BKSS 6.0) di Dewan Serbaguna Tapah, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat setempat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan jangkitan COVID-19.

Malah, beliau menggesa individu yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 agar mendaftar dengan segera menerusi aplikasi MySejahtera. -EDISI UKAS

Share

add comment