Speaker DUN Sarawak Hantar Notis Kepada SPR, Tempoh DUN Dilanjutkan Sehingga Proklamasi Darurat tamat

AHAD, 6 JUN 2021

KUCHING: Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Ahad telah menghantar notis melalui emel kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan bahawa tempoh DUN Sarawak dilanjutkan sehingga proklamasi darurat tamat atau Pilihan Raya Negeri akan diadakan.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, beliau telah menghantar notis tersebut kepada Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bagi memaklumkan bahawa tempoh hayat DUN Sarawak dilanjutkan.

Dalam satu kenyataan media pada Ahad, bliau menambah, tempoh hayat DUN Sarawak dilanjutkan sehingga proklamasi darurat tamat atau Pilihan Raya Negeri akan diadakan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Musafa Billah Shah selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud

Menurut beliau, berdasarkan Seksyen 13 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga memberi kuasa kepada Yang diPertuan Agong untuk mengisytiharkan pembubaran DUN bagi sesuatu negeri termasuk Sarawak dan juga tarikh pilihan raya, jika pada pendapat Baginda adalah sesuai bagi DUN tersebut dibubarkan dan pilihan raya diadakan dalam tempoh darurat.

Malah jelasnya, pada 25 Mei lepas, Yang di-Pertuan Agong telah menasihatkan Kerajaan Sarawak agar berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Ekoran pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021, kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Ini kerana berdasarkan Perkara 21(3) Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan tempoh jangka hayat bagi DUN Sarawak adalah lima tahun daripada tarikh persidangan pertama,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Datuk Amar Mohamad Asfia menambah, penggantungan berkenaan pembubaran dan pilihan raya DUN akan terus kekal selagi mana pengisytiharan darurat berkuatkuasa.

Jelas beliau, memandangkan persidangan pertama selepas pilihan raya Negeri yang lepas adalah pada 7 Jun 2016, maka tempoh lima tahun itu akan berakhir pada 6 Jun 2021.

“Ini bermakna, DUN Sarawak sepatutnya terbubar selepas 6 Jun 2021,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment