ADUN Bukit Semuja Tinjau Pusat Pemunggahan dan Pembungkusan Bakul Makanan Fasa Ke-3

ISNIN, 7 JUN 2021

SERIAN: Seramai 1,000 lagi ketua isi rumah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja menerima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus turut turun padang bagi memantau kerja-kerja pemunggahan dan pembungkusan bakul makanan tersebut.

Ia bagi memastikan bilangan bakul dan makanan asas mencukupi seperti yang ditetapkan dan setakat hari ini, sejumlah 4,000 ketua isi rumah telah menerima bakul makanan masing-masing sejak pengagihan dilakukan sejak Sabtu lepas.

Kerja-kerja pembungkusan bekalan makanan dilakukan oleh barisan Exco PBB dan Ahli PBB Cawangan N.23 Bukit Semuja.

Pada masa sama, John Ilus turut melakukan simbolik ‘flag off’ kepada lori-lori penghantar bekalan makanan dan setiap lori ada seorang ketua bagi memastikan bakul makanan berkenaan sampai ke kampung-kampung terlibat.

Dalam pada itu, beliau berharap proses pengagihan bakul makanan berjalan dengan lancar sehingga selesai diagihkan untuk semua 5,910 ketua isi rumah.

Beliau turut mengingatkan para petugas agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa bertugas mengagihkan bekalan makanan.

Sementara itu, ketika ditemui, Ketua Kampung Belimbing B, Melin Sunang menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Sarawak dan juga wakil rakyat PBB-GPS yang telah memberi bakul makanan kepada penduduk di kampung mereka.

Tambah beliau, ini dapat membantu meringankan beban ketua isi rumah yang terjejas dan terkesan dengan pandemik COVID-19 dan PKP 3.0.

Seterusnya, salah seorang penerima bakul makanan dari Kampung Merakai, Mincong Suwat turut merakamkan terima kasih kepada wakil rakyat Bukit Semuja dan juga kerajaan negeri yang begitu prihatin dan memahami nasib rakyat yang terjejas akibat COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment