ADUN Muara Tuang Tinjau Masalah Tekanan Air Kampung Pinang & Bertemu Dengan Petugas Barisan Hadapan

ISNIN, 7 JUN 2021

KOTA SAMARAHAN: Prihatin dengan masalah tekanan air rendah di Kampung Pinang di sini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang telah turun padang membuat pemantauan di kampung berkenaan pada petang Ahad.

Semasa pemantauan tersebut, beliau telah melakukan perbincangan bersama Penghulu Kampung Pinang, Semawi Sulong dan akan mengambil tindakan segera bagi mempertingkatkan penghantaran air bagi memudahkan rutin penduduk dalam menjalani kehidupan seharian.

Dalam pada itu, beliau turut melakukan tinjauan dan bertemu dengan para petugas barisan hadapan di pos kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Empila di sini.

Jelasnya, penduduk kampung berkenaan dimohon untuk terus memberi kerjasama dengan petugas hadapan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh PKPD.

Ini adalah ujar beliau, bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. -EDISI UKAS

Share

add comment